TYT Sarawak Hadiri Hari Kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273 di Istana Negara, di sini pada Khamis.
Keberangkatan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi diiringi Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan turut dihadiri Raja-Raja Melayu, para Yang di-Pertua Negeri serta Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesi dimulakan dengan bacaan doa oleh Pegawai Agama Istana Negara, sebelum diteruskan dengan taklimat keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera, serta taklimat perkembangan ekonomi negara oleh Menteri Ekonomi.
Taklimat berkenaan memberi penerangan kepada anggota Majlis Raja-Raja mengenai perkembangan semasa berkaitan keselamatan dan ekonomi negara.
Majlis Raja-Raja merupakan institusi penting dalam sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia, berperanan sebagai wadah perundingan serta memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.-EDISI UKAS