Pelihara Kemuliaan DUN, Setiap Tuduhan Mesti Disokong Bukti
KUCHING: Setiap tuduhan yang dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mesti berlandaskan fakta dan disokong bukti kukuh bagi memastikan kewibawaan serta kemuliaan institusi perundangan itu terus terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad menegaskan, kebebasan bersuara yang diberikan kepada setiap Ahli Yang Berhormat perlu disertai tanggungjawab dan tidak seharusnya disalahgunakan untuk membuat tuduhan tanpa asas.
“Saya percaya setiap Ahli Yang Berhormat mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan. Malah, kritikan yang berasas adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat.
“Tetapi terdapat perbezaan yang amat besar antara mengkritik sesuatu dasar dengan membuat tuduhan terhadap integriti seseorang tanpa bukti yang dapat dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul yang dikemukakan Menteri Pengangkutan Sarawak dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini pada Khamis.
Menurutnya, Peraturan Mesyuarat bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan setiap perbahasan berlangsung secara teratur, berdisiplin dan bermaruah.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa penelitian menyeluruh terhadap rekod Hansard, arahan Speaker DUN serta keadaan yang membawa kepada pengemukaan usul berkenaan perlu dibuat sebelum sebarang keputusan diambil.
“Sekiranya pelanggaran yang dinyatakan dalam usul ini dibuktikan, tindakan yang sewajarnya perlu diambil untuk mempertahankan kewibawaan Dewan,” tegasnya.
Dr. Safiee turut menyatakan sokongan terhadap prinsip dan tujuan usul berkenaan, tertakluk kepada pertimbangan Dewan berdasarkan fakta serta tindakan yang dicadangkan.-EDISI UKAS