Keistimewaan Bersuara ADUN Bukan 'Lesen' Berhujah Tanpa Batas
KUCHING: Keistimewaan bersuara yang dinikmati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan 'lesen' untuk berhujah tanpa batas, sebaliknya perlu digunakan secara bertanggungjawab mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan.
ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, setiap Ahli Dewan perlu mematuhi peraturan yang sama tanpa mengira kedudukan, pangkat atau fahaman politik, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
"Kita mesti membezakan antara kebebasan bersuara dengan kebebasan menuduh.
"Mempertikaikan dasar kerajaan adalah hak setiap Ahli kerana itulah inti demokrasi, tetapi menuduh motif seseorang Ahli tanpa asas bukan lagi perbahasan.
"Ia mencemarkan martabat Dewan dan menimbulkan perasaan permusuhan, sesuatu yang dilarang dengan jelas oleh Peraturan Mesyuarat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul yang dibangkitkan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Jelasnya, usul berkenaan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 32(4), 32(6), 32(10)(d) dan 32(12) yang berperanan memastikan perbahasan berlangsung secara adil, teratur dan berwibawa, selain melindungi hak setiap Ahli Dewan.
Dayang Noorazah turut menyentuh tiga bentuk pelanggaran yang didakwa berlaku oleh ADUN Padungan Chong Chieng Jen pada 14 Oktober 2026, iaitu pengulangan maklumat dan dakwaan yang tidak disahkan serta kegagalan mengemukakan bukti apabila diminta, penggunaan bahasa yang menghina dan menyinggung Ahli Dewan, serta mengaitkan motif tidak wajar kepada Ahli lain tanpa kesediaan untuk membuktikannya.
Menurutnya, prinsip keadilan asasi telah dipenuhi apabila ADUN Padungan diberikan peluang untuk mengemukakan bukti dan justifikasi bagi dakwaan yang dibuat.
Ujarnya, penggantungan bagi baki persidangan merupakan tindakan sementara yang bertujuan memulihkan disiplin Dewan, bukannya menyekat kebebasan bersuara. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie