DUN Semariang Terus Pesat Nikmati Pembangunan Infrastruktur
KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semariang tidak terkecuali menikmati manfaat pembangunan Kerajaan Sarawak menerusi pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan awam yang terus dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan penduduk, termasuk penyiapan Projek Menaik Taraf Jalan Tan Sri Abang Ikhwan Zaini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, penyiapan projek berkenaan membuktikan usaha berterusan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik untuk masyarakat setempat.
Menurut beliau, jalan yang telah dinaik taraf itu memberikan kemudahan kepada penduduk, khususnya dari segi kelancaran pergerakan trafik, keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Dulu kita selalu menantikan bila projek ini akan siap, tetapi akhirnya, dengan kesabaran dan usaha semua pihak, kita dapat melihat sendiri perubahan yang begitu ketara pada jalan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Menaik Taraf Jalan Tan Sri Abang Ikhwan Zaini di sini, pada Jumaat.
Projek berkenaan melibatkan pelebaran jalan sedia ada kepada jalan berkembar (dual carriageway) dengan laluan berasingan bagi setiap arah, selain pembinaan sistem perparitan bagi meningkatkan kapasiti jalan raya dan pengurusan air hujan.
Skop kerja turut merangkumi pembinaan dan penurapan semula jalan serta penyiapan persimpangan lampu isyarat di Jalan Cenderawasih bagi menyokong kelancaran dan keselamatan trafik.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang itu lagi, pembangunan di kawasannya turut merangkumi pelbagai kemudahan lain, termasuk padang futsal, kemudahan komuniti serta kerja menaik taraf dan pembinaan baharu masjid serta surau melalui pelaksanaan projek pembangunan dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Beliau turut memaklumkan bahawa projek Dewan Taman Sukma telah siap dan bakal dirasmikan, manakala projek Skim Pembesaran Kampung di Kampung Semariang Batu dirancang untuk dilaksanakan dengan pembinaan lebih daripada 100 tapak rumah.
Dalam pada itu, beliau menggesa penduduk supaya bersama-sama menjaga kemudahan yang telah disediakan, termasuk memastikan kebersihan dan keselamatan jalan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha menempatkan peniaga kecil di lokasi penjajaan yang lebih sesuai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) atas komitmen melaksanakan projek pembangunan di kawasan DUN Semariang.
Projek Menaik Taraf Jalan Tan Sri Abang Ikhwan Zaini siap sepenuhnya pada 31 Julai 2026, sekali gus menyediakan laluan yang lebih selamat dan selesa kepada penduduk serta pengguna jalan raya.
Hadir sama, Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman, Timbalan Pengerusi EXCO DUN Semariang merangkap Ahli Dewan DBKU, Abdul Baderi Sahmat, Ahli Dewan DBKU, Iskandar Sharkawi,Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah serta Ketua-Ketua Kaum Dan Ketua Masyarakat(KMKK) yang hadir.-EDISI UKAS