Pertandingan Bertandak Semarakkan Warisan Budaya Melayu Sarawak
PUSA: Pertandingan Bertandak sempena Regatta Tandang Sari Pusa (RTS) 2026 menjadi platform untuk memelihara seni tradisional Melayu Sarawak serta memastikan warisan budaya berkenaan terus diwarisi generasi muda.
Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang berkata, setiap kawasan di Sarawak mempunyai keunikan budaya tersendiri yang wajar diperkenalkan kepada masyarakat, khususnya bagi mempromosikan identiti budaya tempatan di Daerah Pusa.
“RTS 2026 merupakan platform untuk menyatukan masyarakat dalam kepelbagaian budaya, selain mempromosikan seni dan warisan Melayu Sarawak kepada para pengunjung yang datang ke Daerah Pusa bagi menyaksikan kemeriahan RTS Pusa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pertandingan berkenaan yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, di sini pada Jumaat
Hamdan turut menyifatkan program seumpama itu sebagai satu inisiatif bermanfaat yang perlu diteruskan pada masa akan datang kerana mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, selain memartabatkan warisan budaya, penganjuran RTS 2026 juga membuka peluang kepada penduduk untuk menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan dan gerai jualan sepanjang berlangsungnya acara tersebut.
Pertandingan itu menyaksikan kategori kanak-kanak, Rentak Warisan Semarang muncul johan, diikuti Keal Keal Cili Padi sebagai naib johan dan Warisan Beladin di tempat ketiga.
Kategori dewasa pula menyaksikan Anak Dagang meraih gelaran johan, manakala Lengkang Wijaya memperoleh naib johan dan Selendang Mayang menduduki tempat ketiga.
Hadir sama, Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Pengerusi SUPP Daerah Pusa Dato Lim Kian Choon, Penghulu Zon Pusa Bujang Beni, Ketua Pemuda Beting Maro Awang Nashfarini Awang Sarbini serta Penghulu Kampung Semarang, Spinang dan Batang Maro Musa Zin. -EDISI UKAS