Bangunan Baharu Leadership Institute Jadi Mercu Kecemerlangan Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Bangunan baharu Leadership Institute of Sarawak Civil Service bakal menjadi mercu tanda kecemerlangan Perkhidmatan Awam Sarawak dalam melahirkan penjawat awam yang kompeten, berprestasi tinggi dan bersedia menghadapi cabaran pentadbiran masa depan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Leadership Institute of Sarawak Civil Service, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kemudahan baharu itu akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memperkukuh latihan, pembangunan kepimpinan dan profesionalisme anggota perkhidmatan awam negeri.
Menurut beliau, institusi milik Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan sumber manusia sejajar dengan aspirasi memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berkesan.
“Dengan adanya institusi ini, kita berharap ia dapat dijadikan sebagai pusat sehenti yang membolehkan anggota perkhidmatan awam menjalani latihan yang bersesuaian.
“Memang hasrat kita untuk menjadikan institusi ini sebagai mercu tanda bagi perkhidmatan awam kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pra-Pelancaran Bangunan Leadership Institute of Sarawak Civil Service di Rampangi pada Sabtu.
Bangunan berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk asrama, bilik kuliah dan auditorium bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyokong pelaksanaan program latihan dan pembangunan profesional secara berterusan.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, majlis pra-pelancaran itu turut memberi peluang kepada ketua-ketua jabatan untuk meninjau sendiri kemudahan yang disediakan sebelum bangunan berkenaan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan bacaan doa selamat, aktiviti senamrobik dan penanaman pokok secara simbolik yang mencerminkan komitmen terhadap pertumbuhan serta kelestarian.
Beliau bersama dif kenamaan kemudiannya mengadakan lawatan sekitar bangunan baharu itu bagi meninjau kemudahan dan fasiliti yang disediakan.
Turut hadir, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozwan Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Ketua Pegawai Eksekutif Leadership Institute of Sarawak Civil Service Datu Dr Azhar Ahmad, Ketua-ketua jabatan serta Pegawai-pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus