Pemimpin Komuniti Sri Aman Diperkasa Kemahiran Digital Dan AI
SRI AMAN: Pemimpin komuniti di kawasan luar bandar terus diperkasa dengan kemahiran teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran kampung serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah penting untuk merapatkan jurang kemahiran digital dalam kalangan pemimpin komuniti, khususnya bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi semasa.
Menurut beliau, keperluan latihan itu dikenal pasti susulan maklum balas daripada pemimpin masyarakat yang berdepan kesukaran menyediakan laporan, mengurus dokumentasi rasmi serta melaksanakan tugasan pentadbiran menggunakan komputer.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara Pusat Khidmat Parlimen Sri Aman dengan Sarawak Skills dapat meningkatkan keupayaan pemimpin komuniti mengurus hal ehwal kampung secara lebih cekap, sistematik dan profesional.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penutupan Bengkel Pemantapan Kemahiran IT Siri 1/2026 di Sarawak Skills Sri Aman, di sini pada Jumaat.
Bengkel selama tiga hari bermula 14 Oktober itu turut memberi penekanan kepada penggunaan AI bagi membantu penyediaan dokumen, merumuskan maklumat serta meningkatkan produktiviti kerja.
Doris Sophia turut menjelaskan bahawa program berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dengan melibatkan ketua masyarakat, ketua kaum, setiausaha dan wakil biro wanita dari kawasan Parlimen Sri Aman termasuk Sri Aman dan Lingga.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan ilmu yang diperoleh serta berkongsi kemahiran berkenaan dengan pemimpin komuniti lain agar manfaat latihan dapat diperluas ke peringkat akar umbi.
Sementara itu, Pengurus Pusat Sarawak Skills Sri Aman, Dexter Jagit berkata, bengkel tersebut memberi tumpuan kepada kemahiran praktikal termasuk penyediaan minit mesyuarat, surat rasmi, kertas kerja dan laporan menggunakan aplikasi digital.
Menurutnya, penganjuran program itu turut menerapkan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti, inovasi dan pembangunan komuniti secara inklusif.
Dalam pada itu, wakil peserta, Mazlan Ramzi menyifatkan program tersebut sebagai peluang bermakna untuk meningkatkan kemahiran digital, selain membina jaringan kerjasama dan bertukar pengetahuan dengan peserta daripada komuniti lain.-EDISI UKAS