Hari Sukan Negara Platform Tingkat Kesedaran Kepentingan Kesihatan
SIBU: Hari Sukan Negara merupakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjadikan kesihatan sebagai keutamaan melalui amalan gaya hidup aktif dan sihat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, amalan bersukan tidak semestinya melibatkan aktiviti berat atau pertandingan, sebaliknya boleh dimulakan dengan aktiviti mudah seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal dan senaman secara berkala.
“Saya menggalakkan persatuan sukan, pertubuhan belia, agensi kerajaan dan komuniti setempat untuk menganjurkan aktiviti yang mudah disertai oleh pelbagai peringkat umur, termasuk warga emas dan golongan orang kurang upaya.
“Pada masa yang sama, jagalah kebersihan dan kemudahan yang disediakan agar lebih ramai dapat menggunakannya dengan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying, sempena perasmian Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Bahagian Sibu, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Bintulu itu turut menggesa ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak menyertai aktiviti sukan serta menunjukkan teladan melalui amalan gaya hidup sihat.
Golongan belia pula, katanya, perlu memanfaatkan masa dan tenaga untuk membina disiplin, keyakinan diri serta semangat kesukanan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata lagi, sukan juga berperanan sebagai wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum di Sibu dan Sarawak kerana aktiviti itu membolehkan orang ramai berinteraksi tanpa mengira perbezaan latar belakang, budaya dan agama.
“Dalam masyarakat berbilang kaum di Sibu dan Sarawak, aktiviti sukan mampu menyatukan kita tanpa mengira perbezaan latar belakang, budaya dan agama,” ujarnya.
Sementara itu, Joshua turut diberi penghormatan melepaskan 600 peserta dalam aktiviti Larian Untuk Negara sejauh 5 kilometer (KM), dan turut serta dalam aktiviti Berjalan Ria sebanyak satu pusingan trek balapan bersama 400 peserta.
Antara aktiviti lain yang dianjurkan ialah pertandingan aerobik, pertandingan bola sepak sembilan sebelah antara jabatan dan agensi, cabaran bola keranjang tiga lawan tiga serta pertandingan wushu remaja.
Program itu turut merangkumi pertandingan mewarna kanak-kanak, Sukaneka Perpaduan MADANI, sukan rakyat untuk warga emas dan orang kurang upaya serta aktiviti healing Rakan Muda.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Sibu Nursyamilla Jeruis serta pengerusi penganjur Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Bahagian Sibu Olivia Kaminis.-EDISI UKAS