Kutipan Cukai Negara Lepasi RM200 Bilion Buat Kali Pertama Pada 2025
KUCHING: Kutipan cukai negara melepasi RM200 bilion buat kali pertama pada 2025, dengan kerjasama media memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan pematuhan cukai secara sukarela.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, penyampaian maklumat percukaian yang tepat dan jelas kepada masyarakat membantu pembayar cukai memahami tanggungjawab mereka, sekali gus menyokong usaha kerajaan memastikan kutipan hasil negara berada pada tahap yang sewajarnya.
“Tentunya kejayaan ini boleh kita kongsikan bersama, HASiL dengan peranannya, tuan-tuan dan puan-puan sebagai rakan media juga memainkan peranan yang besar untuk memastikan pematuhan cukai akan terus meningkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Sarawak, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, hubungan erat antara HASiL dengan media perlu diteruskan dan diperkukuh kerana peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat, malah membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar serta inisiatif percukaian kerajaan.
“Kerjasama ini turut membantu memastikan pematuhan cukai akan terus meningkat, khususnya pematuhan cukai secara sukarela yang tentunya menjadi matlamat utama kita,” katanya lagi.
Beliau berkata, HASiL memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif percukaian pada 2026, termasuk pelaksanaan sistem taksiran sendiri bagi duti setem dan cukai keuntungan harta tanah, selain peluasan pelaksanaan e-Invois yang bermula pada 2024.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata HASiL turut mempergiat usaha memberikan penerangan mengenai pengumuman Belanjawan 2027 menerusi seminar percukaian yang terbuka kepada umum, termasuk sesi secara dalam talian yang dijadualkan pada 21 Oktober ini.
Usaha itu dilaksanakan dengan sokongan rakan strategik, termasuk Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), bagi membantu pembayar cukai memahami perubahan dasar dan langkah percukaian yang diumumkan kerajaan.
Datuk Dr Abu Tariq menambah, HASiL juga memanfaatkan Bulan HASiL yang berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober untuk mendekati masyarakat secara langsung menerusi program di pusat beli-belah, kawasan komuniti, universiti dan sekolah.
Menurutnya, pendekatan turun padang itu bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan penjelasan berkaitan percukaian, selain mewujudkan hubungan yang lebih baik antara HASiL dengan pembayar cukai.
Antara tumpuan sepanjang bulan berkenaan ialah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) bagi e-Invois dan duti setem, yang memberi peluang kepada pembayar cukai tampil membetulkan kesilapan atau menyelesaikan dokumen yang belum disetemkan mengikut ketetapan program.
Bagi duti setem, inisiatif itu membolehkan pihak terlibat tampil menyetem dokumen yang belum disetemkan tanpa dikenakan penalti, tertakluk pada syarat program yang ditetapkan.
HASiL turut menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela bagi isu cukai pendapatan sebelum sesuatu kes tertakluk kepada audit atau siasatan, dengan kadar penalti yang lebih rendah mengikut ketetapan berkaitan.
Selain itu, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat mengenai kemungkinan ketidakpatuhan cukai melalui platform e-Pelarian untuk membolehkan HASiL menjalankan semakan dan menentukan tindakan sewajarnya.
Beliau menegaskan, kerjasama semua pihak, termasuk media dan masyarakat, penting bagi memastikan sistem percukaian negara terus berfungsi dengan berkesan, memandangkan hasil yang dikutip digunakan untuk membiayai pembangunan serta memenuhi keperluan rakyat. -EDISI UKAS