AirBorneo Rancang Penerbangan Terus Dari Sibu Ke Tiga Bandar Utama
KUCHING: Kesalinghubungan udara di Sibu bakal diperkukuh menerusi perancangan AirBorneo untuk memperkenalkan penerbangan terus ke tiga bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, cadangan itu merupakan sebahagian daripada penilaian rangkaian penerbangan AirBorneo bagi meningkatkan mobiliti penduduk, memperluas akses pengangkutan udara serta merancakkan aktiviti ekonomi di wilayah tengah Sarawak.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan laluan berkenaan masih tertakluk kepada kesiapsiagaan operasi dan kelulusan pihak berkaitan.
“Pelaksanaan laluan ini tertakluk kepada ketersediaan pesawat komersial yang sesuai, hak trafik udara, kelulusan kawal selia, sokongan lapangan terbang, keperluan kru, pengaturan penyelenggaraan serta daya maju permintaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Datuk Dr Jerip memaklumkan usaha meningkatkan kesalinghubungan udara Sibu turut menunjukkan perkembangan apabila AirAsia bersetuju menyambung semula laluan Sibu-Kota Kinabalu mulai 2 November 2026 dengan kekerapan empat penerbangan seminggu.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak terus mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan, termasuk memulihkan laluan yang sebelum ini digantung.
Bagi laluan Sibu-Kuching, AirAsia kini mengendalikan empat penerbangan sehari, manakala laluan Sibu-Kuala Lumpur menawarkan enam penerbangan sehari.
Daripada jumlah itu, tiga penerbangan dikendalikan AirAsia, dua oleh Malaysia Airlines dan satu oleh Batik Air.
Beliau berkata, kementerian akan terus memantau permintaan penumpang serta berunding dengan syarikat penerbangan bagi memastikan kapasiti dan kesalinghubungan udara dari Sibu dapat memenuhi keperluan semasa.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebarang perubahan jadual penerbangan masih tertakluk kepada kelulusan serta peraturan penerbangan yang berkuat kuasa.-EDISI UKAS