Graduasi KAT KEMAS Bukti Usia Bukan Penghalang Menimba Ilmu
SRI AMAN: Usia bukan penghalang untuk terus menimba ilmu dan menguasai kemahiran baharu, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat luar bandar meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh ekonomi keluarga.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodi berkata, peluang pembelajaran dan latihan kemahiran perlu terus diperluas bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira usia, berpeluang membangunkan potensi diri.
Menurut beliau, masyarakat luar bandar mempunyai keinginan untuk mempelajari kemahiran baharu sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan akses kepada program yang bersesuaian.
“Faktor umur sama ada enam puluh, tujuh puluh mahupun lapan puluh tahun bukanlah alasan. Selagi kita masih mempunyai nikmat penglihatan dan pendengaran yang baik, selagi itulah kita masih mampu dan boleh belajar.
"Masyarakat kita bukannya tidak mahu belajar, tetapi mereka mahu belajar jika diberi peluang. Apabila seseorang itu mempunyai ilmu dan kemahiran maka laluan untuk memperoleh kejayaan pasti akan terbuka luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Kelas Anak Tempatan (KAT) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Rumah Wan anak Rantai, Kampung Guntung Hulu, Batu Lintang, di sini pada Jumaat.
Majlis berkenaan meraikan 15 peserta yang berjaya menamatkan program KAT, sekali gus mengiktiraf komitmen dan kesungguhan mereka dalam meningkatkan pengetahuan serta kemahiran diri.
Doris Sophia turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS atas usaha menyediakan platform pembelajaran yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
“Saya amat berterima kasih atas usaha murni dalam menganjurkan majlis graduasi seperti ini. Ini adalah satu pengiktirafan besar terhadap usaha dan kesungguhan para peserta kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar program bengkel kemahiran diperluas dengan melibatkan ketua-ketua kaum bagi meningkatkan pendedahan serta menggalakkan penyertaan masyarakat di peringkat akar umbi.
Program KAT merupakan antara inisiatif KEMAS yang memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran praktikal, bukan sekadar pembelajaran asas membaca dan menulis.-EDISI UKAS