Penetapan Tarikh PRN Sarawak Mengikut Proses Perundangan
KUCHING: Penentuan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 tertakluk kepada proses pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan peruntukan undang-undang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan mengenai masa pembubaran DUN merupakan prerogatif Premier Sarawak, manakala SPR bertanggungjawab menetapkan tarikh pilihan raya selepas pembubaran dilaksanakan.
Menurut beliau, tempoh pelaksanaan pilihan raya perlu mengambil kira beberapa proses penting termasuk urusan SPR dan tempoh berkempen bagi memastikan keseluruhan proses berjalan lancar.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan peruntukan undang-undang, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
“Jadi, jumlahnya, menjadi semakin kecil. Saya akan kata, kita hanya ada satu setengah bulan. November dan setengah Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Penulisan DayakDaily di sini pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, sebarang jangkaan mengenai tempoh pelaksanaan PRN perlu dilihat berdasarkan proses dan garis masa yang ditetapkan.
Katanya, sekiranya penggal DUN berakhir secara automatik, pilihan raya tetap perlu dilaksanakan dalam tempoh yang diperuntukkan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa kesesuaian masa serta kelancaran keseluruhan proses pilihan raya merupakan antara pertimbangan penting dalam menentukan tempoh pelaksanaannya.-EDISI UKAS