142 Warga Pendidikan Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PPD Betong
BETONG: Seramai 142 warga pendidikan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Majlis Jasamu Dikenang bagi Pesara Tahun 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima APC atas kecemerlangan, komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sepanjang perkhidmatan mereka.
“Ppenganugerahan APC bukan sekadar pengiktirafan dalam bentuk sijil atau hadiah, sebaliknya merupakan simbol penghargaan kerajaan terhadap kualiti kerja, integriti dan kesungguhan warga pendidikan dalam menjalankan tugas.”
Beliau berharap pengiktirafan tersebut dapat menjadi pembakar semangat kepada para penerima untuk terus meningkatkan prestasi, selain menjadi inspirasi dan penanda aras kepada rakan sejawat yang lain.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada 43 pesara tahun 2026 atas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam membimbing serta mendidik generasi muda di Daerah Betong.
Menurut beliau lagi, sektor pendidikan merupakan tunjang utama pembangunan kesejahteraan masyarakat kerana peranan warga pendidik bukan sahaja melahirkan generasi berilmu, malah membentuk sahsiah, nilai murni dan keperibadian generasi muda.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dedikasi warga pendidik dan seluruh warga kerja PPD Betong amat penting dalam usaha membangunkan modal insan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kesejahteraan emosi.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dato’ Omar Mahli, Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Anis Madeli, wakil Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak, Nur Liana Lim Abdullah serta Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Betong, Minggu Ujak.
Majlis tersebut menjadi wadah penghargaan kepada warga pendidikan yang cemerlang serta pesara yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan pendidikan di Daerah Betong. - EDISI UKAS