KOTA SAMARAHAN: Keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan terus menjadi tumpuan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menerusi Program Ziarah Semarak Kasih yang menyantuni dua penduduk uzur di Kampung Pinang Hilir, di sini pada Sabtu.
Dalam lawatan itu, Datuk Rubiah menziarahi Bojeng Boh, 75, yang mengalami strok dan menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian, wang tunai serta sebuah kerusi roda bagi membantu memudahkan pergerakan dan memenuhi keperluan hariannya.
Beliau turut menziarahi Kompot Luna, 74, yang mengalami strok dan tekanan darah tinggi, serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai bagi meringankan beban perbelanjaan harian.
Katanya, pendekatan turun padang membolehkan keperluan penduduk dikenal pasti secara lebih dekat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan kebajikan dan sokongan berterusan.
“Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat perlu diteruskan melalui pendekatan turun padang supaya golongan yang memerlukan tidak terpinggir dan bantuan dapat disalurkan mengikut keperluan mereka,” katanya.
Terdahulu, Datuk Rubiah menyertai Program Larian Santai Sempena Hari Malaysia 2026 di perkarangan Dewan Serbaguna Kampung Pinang yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta.
Program itu turut diserikan dengan aktiviti senamrobik sebelum beliau menyempurnakan pelepasan peserta larian selepas taklimat keselamatan disampaikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinang.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Siti Zaharah Mohamad Mohmood, Penghulu Kampung Pinang, Semawi Sulong serta Ketua Kaum Kampung Pinang Hilir, Forkan Jamain. -EDISI UKAS