TANJUNG MANIS: Golongan warga emas perlu terus diberi ruang dan sokongan untuk kekal aktif, sihat serta terlibat dalam kehidupan bermasyarakat kerana mereka merupakan khazanah bernilai yang menyumbang pengalaman dan kebijaksanaan kepada generasi hari ini.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, warga emas bukan sekadar golongan senior, sebaliknya merupakan aset penting kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Katanya, pengalaman, pengorbanan serta tunjuk ajar yang dicurahkan golongan tersebut selama ini menjadi asas kepada kesejahteraan yang dinikmati generasi masa kini.
“Golongan warga emas bukanlah sekadar golongan senior dalam masyarakat, tetapi tuan-tuan dan puan-puan adalah permata bernilai, gedung pengalaman dan tiang seri kepada keluarga, masyarakat serta negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjung Manis, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, kewujudan PAWE memainkan peranan penting sebagai platform untuk membudayakan kehidupan warga emas yang aktif dan sihat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, penjagaan kesihatan fizikal dan kecerdasan minda perlu diberi keutamaan oleh warga emas menerusi amalan hidup sihat, senaman ringan, pemakanan seimbang dan aktiviti sosial.
“Umur hanyalah sekadar angka. Kesihatan fizikal dan kecerdasan minda perlu sentiasa dijaga melalui senaman ringan, pemakanan yang seimbang serta aktiviti kemasyarakatan agar kekal cergas dan bertenaga,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PAWE menyediakan ruang yang penting kepada warga emas untuk berkumpul, beramah mesra, berkongsi pengalaman dan mendapatkan sokongan emosi dalam suasana yang lebih ceria dan positif.
Dalam pada itu, beliau berkata pengalaman serta kebijaksanaan warga emas perlu terus diwariskan kepada generasi muda sebagai panduan dan iktibar dalam kehidupan.
“Anak-anak muda dan generasi hari ini sentiasa memerlukan nasihat, pandangan dan kebijaksanaan daripada warga emas. Pengalaman hidup anda adalah ikhtibar dan panduan terbaik buat kami semua,” katanya.
Beliau turut menyeru warga emas agar terus melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan rekreasi mengikut kemampuan masing-masing bagi mengisi usia emas dengan kehidupan yang aktif dan bermakna.
Pada masa sama, beliau mengingatkan generasi muda supaya sentiasa menghargai, menyayangi dan memberikan perhatian terbaik kepada ibu bapa serta golongan warga emas.
Beliau berharap PAWE Tanjung Manis akan terus menjadi wadah yang memberi manfaat kepada golongan warga emas, khususnya dalam aspek kesihatan, kesejahteraan sosial dan pengukuhan hubungan kemasyarakatan.
Pada majlis tersebut juga Dato Ir Yusuf turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 dan satu set pencetak kepada PAWE Tanjung Manis manakala Jabatan Kebajikan menyerahkan peruntukan permulaan pertubuhan sebanyak RM10,000 untuk pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan.
Buat masa ini seramai 130 orang Warga Emas telah berdaftar menjadi Ahli Persatuan Warga Emas Tanjung Manis.
Hadir sama pada majlis ialah Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yew Seng dan Pengerusi PAWE Tanjung Manis Sulaiman Rajus. - EDISI UKAS