AI Buka Ruang Baharu Tingkat Kecergasan Masyarakat
SRI AMAN: Teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka ruang baharu untuk meningkatkan kecergasan masyarakat menerusi penggunaan peranti pintar, aplikasi latihan peribadi dan analisis prestasi yang membantu individu merancang aktiviti fizikal mengikut keupayaan masing-masing.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, kemajuan teknologi boleh dimanfaatkan untuk menjadikan aktiviti sukan lebih terancang dan interaktif, sekali gus menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan ekonomi dan teknologi perlu diseimbangkan dengan penjagaan kesihatan fizikal serta mental bagi memastikan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang berkualiti.
“Walau sehebat mana pun kemajuan ekonomi dan teknologi yang kita capai, kesihatan fizikal dan mental tidak boleh diabaikan.
“Tubuh badan yang sihat merupakan aset penting dalam memastikan kita dapat menjalani kehidupan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Bahagian Sri Aman di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, pada Sabtu.
Mahra turut menekankan kepentingan menjadikan aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada rutin harian, dan bukannya hanya dilakukan ketika menyertai program atau acara tertentu.
Menurutnya, amalan bersukan secara konsisten bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan tubuh badan, malah menyumbang kepada kesejahteraan mental serta membina hubungan sosial dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menggalakkan golongan muda untuk melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan sukan, selain memanfaatkan kemudahan dan teknologi yang tersedia bagi menyokong gaya hidup sihat. -EDISI UKAS