2,000 Wanita Sarawak Manfaat Program Pemerkasaan MARA Sejak 2024
KOTA SAMARAHAN: Kira-kira 2,000 wanita di Sarawak telah mendapat manfaat daripada Program Pemerkasaan Wanita MARA yang dilaksanakan di 10 kawasan Parlimen sejak 2024, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan itu meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan dan menceburi bidang keusahawanan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkukuh keupayaan ekonomi wanita menerusi latihan, bimbingan serta akses kepada kemudahan pembangunan perniagaan.
“Program Pemerkasaan Wanita mula dilaksanakan di Sarawak pada tahun 2024. Sehingga kini program ini telah dilaksanakan di 10 parlimen. Kira-kira 2,000 peserta telah berjaya mengikuti program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 Samarahan di Dewan Suarah, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, program bertemakan Wanita dan Komuniti Memperkasa Keusahawanan itu selaras dengan Pelan Strategik MARA 2026–2030 yang menggariskan 18 strategi dan 70 inisiatif berteraskan penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera.
Katanya, MARA turut memperkenalkan Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Komuniti MARA 2025–2030 merangkumi 17 inisiatif yang memberi tumpuan kepada keusahawanan, pendidikan dan pembangunan sumber manusia.
Pendekatan itu bertujuan memperluas peluang perniagaan, meningkatkan kompetensi wanita serta memperkukuh akses kepada pembiayaan, premis perniagaan dan peluang kepimpinan.
Dalam usaha mempercepat transformasi digital usahawan, beliau berkata, sebanyak RM958,000 telah diluluskan dan ditawarkan kepada 1,206 penerima menerusi Program Pendigitalan Perniagaan (Digitalbiz) sehingga Ogos 2026.
“Kita mahu melahirkan usahawan yang bukan sahaja mampu memulakan perniagaan, tetapi juga mampu bertahan, berkembang dan mewujudkan peluang kepada orang lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta memanfaatkan ilmu, pengalaman dan jaringan perniagaan yang diperoleh bagi meningkatkan pendapatan keluarga serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti.
“Jangan biarkan semangat yang tercetus melalui program ini terhenti selepas program berakhir.
“Sesungguhnya, sesuatu peluang hanya akan memberikan manfaat apabila disusuli dengan usaha, kesungguhan dan tindakan yang berterusan,” katanya.
Program berkenaan turut diisi dengan Seminar Kesedaran Halal melalui kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak serta penglibatan Akademi Kenegaraan Malaysia sebagai rakan strategik.
Turut hadir, Ahli Majlis MARA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA, Ajar @ Siti Ajar Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Datuk Ts. Hamdi Ibrahim, Pengarah MARA Negeri Sarawak, Timelow Jauk dan Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak.-EDISI UKAS