Sukan Konsisten Bantu Cegah Obesiti, Diabetes & Darah Tinggi
KOTA SAMARAHAN: Amalan bersukan secara konsisten mampu membantu mencegah penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi yang semakin membimbangkan, termasuk dalam kalangan golongan muda.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, aktiviti fizikal perlu dijadikan sebahagian daripada rutin harian masyarakat dan bukannya hanya dilakukan ketika menyertai program sukan tahunan.
“Melalui aktiviti sukan yang konsisten, kita dapat membantu mencegah penyakit tidak berjangkit yang semakin membimbangkan akibat gaya hidup tidak aktif, termasuk obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes yang turut menjejaskan golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Bahagian Samarahan, di sini pada Sabtu.
Datuk Rubiah berkata, kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental perlu terus dipupuk bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih aktif dan sihat.
Sementara itu, sambutan HSN Peringkat Bahagian Samarahan tahun ini mencatatkan penyertaan hampir 46,000 orang, bersamaan lebih 25 peratus daripada keseluruhan penduduk bahagian berkenaan.
Menurutnya, penyertaan daripada pelbagai kaum dan peringkat umur itu turut memperlihatkan peranan sukan dalam mengukuhkan perpaduan serta membina hubungan erat dalam kalangan masyarakat.
Bagi menyokong pembudayaan sukan di peringkat akar umbi, kerajaan komited menyediakan kemudahan dan infrastruktur sukan yang bersesuaian, termasuk pembinaan serta penaiktarafan padang dan dewan bagi menggalakkan aktiviti sukan dan rekreasi dalam kalangan penduduk.
Selain aktiviti sukan, program sampingan seperti Jualan Rahmah turut diadakan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat yang menyertai program berkenaan.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin dan Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Abu Zaid Abu Bakar. -EDISI UKAS