MARA Salur RM2.06 Juta Perkasa Usahawan, Komuniti Di Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyalurkan geran dan kemudahan pembiayaan perniagaan berjumlah RM2.06 juta kepada lapan usahawan menerusi Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 Samarahan bagi memperkukuh daya saing serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Inisiatif itu merangkumi geran keusahawanan berjumlah RM37,000 kepada tiga penerima serta pembiayaan perniagaan sebanyak RM2.022 juta kepada lima usahawan menerusi pelbagai skim yang disediakan MARA.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bantuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memperluas akses pembiayaan, meningkatkan keupayaan perniagaan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan Bumiputera, khususnya golongan wanita.
“Program ini bertujuan menyediakan platform kepada usahawan wanita dan komuniti untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang perniagaan, inisiatif dan bantuan kerajaan, program latihan, pembiayaan serta geran keusahawanan bagi menyokong pembangunan perniagaan yang berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika semasa Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini pada Sabtu.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta yang berpeluang mendapatkan pendedahan mengenai keusahawanan, latihan kemahiran, pembiayaan serta jaringan perniagaan.
Daripada keseluruhan geran RM37,000, Asajaya Cafeteria menerima RM8,000 menerusi program BEST bagi tujuan pensijilan halal, manakala Syarikat Pawida dan Isma Tradisional Enterprise masing-masing menerima RM14,500 untuk pembungkusan dan pelabelan halal.
Sementara itu, pembiayaan perniagaan berjumlah RM2.022 juta disalurkan menerusi tiga skim, iaitu SPiKE, DanaNita dan PUTRA.
Pembiayaan terbesar sebanyak RM1 juta diterima Ibrahim Syam Abu Bakar daripada Ibrah Eng Enterprise, diikuti Felleny Camelly Kinson daripada Twosiblings Construction sebanyak RM656,000 serta Bryan Carl Patrict bersama Patrict Miden daripada BC Construction sebanyak RM340,000.
Dua lagi penerima ialah Donna Ida Edgar daripada G.B.M Spa Company yang menerima RM18,000 menerusi DanaNita dan Muhammad Syamil Jemat daripada Melna Enterprise sebanyak RM8,000 menerusi PUTRA.
Dalam perkembangan berkaitan, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah RM7,500 kepada 75 pelajar, masing-masing 50 pelajar SMK Kota Samarahan menerima keseluruhan RM5,000 dan 25 pelajar SMK Hajjah Laila Taib menerima RM2,500.
Mengulas lanjut, Datuk Rubiah berkata, pembangunan keusahawanan bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan keluarga, malah berperanan mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi komuniti.
“Kita mahu melahirkan usahawan yang bukan sahaja mampu memulakan perniagaan, tetapi juga mampu bertahan, berkembang dan mewujudkan peluang kepada orang lain,” katanya.
Justeru, beliau menekankan kepentingan latihan berterusan, bimbingan perniagaan, penggunaan teknologi moden dan pemasaran digital bagi membolehkan usahawan memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing.
Program itu turut diisi dengan perkongsian ilmu oleh MARA, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Bank Muamalat dan Pejabat Daerah Samarahan, selain pameran agensi serta khidmat masyarakat menerusi servis menukar minyak hitam motosikal oleh GIATMARA Kota Samarahan.
Turut hadir, Ahli Majlis MARA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA, Ajar @ Siti Ajar Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Datuk Ts. Hamdi Ibrahim, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Sarawak, Mohamad Faizal Lamat, Pengarah MARA Negeri Sarawak, Timelow Jauk, wakil Residen Bahagian Samarahan, Jerina Gapor dan Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak.-EDISI UKAS