Ahmad Johnie Rasmi Majlis Anugerah Kecemerlangan Dan Graduasi SMK Matu 2026
MATU: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu.
Majlis pada Sabtu itu meraikan seramai 167 pelajar Tingkatan 5 dan lima murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang menamatkan persekolahan masing-masing.
Beliau yang juga alumni SMK Matu menyeru para pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), agar terus berusaha mencapai kecemerlangan serta merebut peluang pendidikan tinggi melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
“Saya yakin anak-anak SMK Matu mampu melangkah jauh hingga ke menara gading, sekali gus mengharumkan nama sekolah, keluarga dan Sarawak,” katanya.
Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada murid PPKI agar terus yakin dengan kebolehan diri serta mengembangkan potensi masing-masing.
Ahmad Johnie berharap SMK Matu terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah, sekali gus mengangkat nama sekolah ke peringkat lebih tinggi. - EDISI UKAS