Sarawak Perkukuh Perancangan Kesihatan Berasaskan Data Penyakit Setempat
GEDONG: Kerajaan Sarawak akan memperkukuh perancangan kesihatan berasaskan data penyakit mengikut lokaliti bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan lebih bersasar dan menepati keperluan sebenar masyarakat di setiap kawasan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan menerusi Program Pengawasan Penyakit Sarawak (DSP) yang dilaksanakan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) membolehkan penyelidikan dijalankan di lapangan untuk mengenal pasti corak penyakit serta faktor berkaitan kesihatan yang mempengaruhi komuniti setempat.
Menurut beliau, dapatan penyelidikan itu penting bagi membolehkan kerajaan menyelaraskan dasar dan pendekatan kesihatan dengan keadaan sebenar di sesuatu kawasan, memandangkan corak penyakit yang dikenal pasti di satu lokaliti mungkin berbeza daripada kawasan lain.
“Sebenarnya penyelidikan yang kita buat setakat ini, di kawasan Kapit lain penyakit, Serian lain penyakit dan ini adalah kita buat satu penyelidikan dan kita lihat ‘trend’.
“Selain itu juga, kita akan menghasilkan mungkin ubat-ubatan tempatan daripada sumber biodiversiti kita yang boleh kita terjemahkan sebagai satu cara untuk mengurus penyakit-penyakit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran DSP, Kampung Lubok Buntin, di sini pada Ahad.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu lagi, program berkenaan turut menggunakan makmal bergerak bagi membantu kerja pengambilan sampel di lapangan, sekali gus membolehkan penyelidik mendapatkan data yang lebih tepat mengenai keadaan kesihatan masyarakat.
Sebagai contoh, pemerhatian awal di kawasan Kampun Lubok Buntin, menunjukkan petunjuk berkaitan risiko jangkitan cacing yang boleh dikaitkan dengan faktor kebersihan dan pemakanan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Dapatan sedemikian, katanya, membolehkan usaha pendidikan kesihatan serta langkah pencegahan dirancang mengikut risiko dan keperluan penduduk setempat.
“Jadi, ini adalah untuk kita mendapatkan data sebenar supaya pembangunan kesihatan kita selari dengan apa yang terdapat di kawasan masing-masing.
“Kalau tidak, kita hanya membuat andaian. Kesihatan yang disediakan kepada penduduk kampung perlu berdasarkan data yang ada supaya lebih bersasar,” jelasnua.
Program DSP akan diteruskan ke kawasan lain termasuk Kuching dan Serian, dengan penyelidikan mengikut lokaliti menjadi antara pendekatan untuk memahami corak penyakit dan memperkukuh perancangan kesihatan di Sarawak.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Wakil Khas ADUN Gedong Dato Sri Mohammad Naroden Majais, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Natalie Cherinie Johnny