SAFT Run 2026 Perkasa Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Promosi Pelancongan Bau
BAU: Program Sarawak Fire Trail (SAFT) Run 2026 bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan kebakaran serta mempromosikan keunikan Daerah Bau sebagai destinasi pelancongan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, penganjuran program yang turut disertai aktiviti Fire Education Drill (FED) itu membuktikan sukan dan pendidikan keselamatan mampu digabungkan dalam satu pendekatan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Menurut beliau, penyertaan seramai 287 peserta dalam SAFT Run dan 85 peserta dalam FED mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap aktiviti yang bukan sahaja menitikberatkan kecergasan fizikal, malah meningkatkan pengetahuan menghadapi situasi kecemasan.
Beliau berkata demikian ketika program SAFT Run 2026 dan FED di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Henry menegaskan pendidikan keselamatan kebakaran perlu terus diperkasakan melalui pendedahan praktikal, termasuk kaedah mengendalikan kebakaran, penggunaan peralatan menyelamat serta tindakan menyelamatkan diri ketika kecemasan.
Katanya, pengetahuan dan kemahiran asas berkenaan penting bagi membolehkan masyarakat bertindak dengan pantas dan tepat, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak, agensi kerajaan dan rakan strategik dapat diperkukuh bagi memperluas pendidikan keselamatan kebakaran, khususnya kepada golongan belia.
Pada masa sama, beliau menyifatkan penganjuran SAFT Run sebagai peluang memperkenalkan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya serta potensi pelancongan Daerah Bau kepada masyarakat luar.
Menurutnya, penganjuran aktiviti sukan dan kemasyarakatan secara berterusan mampu menarik lebih ramai pengunjung, di samping membuka ruang kepada penglibatan komuniti serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Jamri Masran, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi dan tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS