292 Pelajar Di Tasik Biru Terima Insentif Pendidikan RM114,100 Sepanjang 2026
BAU: Seramai 292 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru menerima manfaat insentif pendidikan berjumlah RM114,100 menerusi empat siri agihan sepanjang tahun 2026 bagi membantu meringankan beban kewangan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Daripada jumlah itu, seramai 37 pelajar menerima insentif berjumlah RM15,200 menerusi agihan keempat yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep pada Sabtu.
Majlis penyerahan berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat Tasik Biru melibatkan penerima yang mengikuti pengajian di pelbagai IPT tempatan.
Penerima terdiri daripada pelajar peringkat asas, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda yang mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Insentif pendidikan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan membantu pelajar di kawasan Tasik Biru meneruskan pengajian, sekali gus mengurangkan tanggungan kewangan keluarga khususnya dalam menampung keperluan awal pendidikan tinggi.
Pelaksanaan empat siri agihan sepanjang tahun ini turut mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan modal insan serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk meningkatkan pencapaian akademik dan kemahiran.-EDISI UKAS