BAU: Pemeriksaan kesihatan secara berkala bukan sekadar langkah pencegahan penyakit, malah mampu menyelamatkan nyawa melalui pengesanan awal masalah kesihatan yang sering berlaku tanpa menunjukkan sebarang gejala.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, masyarakat tidak seharusnya menganggap diri mereka benar-benar sihat hanya kerana masih mampu menjalani aktiviti harian seperti biasa.
“Jangan sesekali menganggap bahawa kita benar-benar sihat hanya kerana kita berasa sihat dan mampu melakukan aktiviti fizikal.
"Kadangkala, terdapat masalah kesihatan dalam tubuh kita yang tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Divine Will Society Kuching Medical Outreach Camp 2026 di Balai Raya Kampung Serikin, di sini pada Sabtu.
Berkongsi pengalaman peribadi, Henry mendedahkan bahawa pemeriksaan kesihatan lanjut yang dijalaninya, termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT) dan angiogram, menemukan kira-kira 60 peratus penyumbatan pada saluran darahnya meskipun bacaan tekanan darah ketika itu berada pada paras 128/78.
Menurutnya, pengalaman tersebut membuka kesedaran mengenai kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh tanpa menunggu sehingga muncul tanda-tanda penyakit.
“Namun, kita perlu sedar bahawa mengetahui keadaan kesihatan lebih awal memberikan kita peluang untuk mendapatkan rawatan dan mengambil langkah pencegahan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Jangan tunggu sehingga terlambat. Kesihatan dan nyawa kita amat berharga,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya tidak takut menjalani pemeriksaan kesihatan kerana pengesanan awal membolehkan tindakan pencegahan dan rawatan sewajarnya diambil bagi mengurangkan risiko komplikasi.
Dalam pada itu, Henry menyifatkan penganjuran program kesihatan komuniti berkenaan sebagai inisiatif bermakna dalam memperluas akses pemeriksaan kesihatan kepada penduduk luar bandar, khususnya di Kampung Serikin dan kawasan sekitarnya.
Program dua hari bermula 17 hingga 18 Oktober itu dianjurkan Divine Will Society dengan kerjasama Lions Club One Earth Kuching, melibatkan kira-kira 60 sukarelawan termasuk doktor dan petugas kesihatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, sambil menekankan kepentingan kerjasama strategik antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan agensi kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Menurut Henry, penganjuran program itu tercetus hasil cadangan yang dikemukakan wakil Divine Will Society ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya pada 10 April lalu.
Pada masa sama, beliau menyambut baik cadangan penubuhan pusat penjagaan warga emas (Elderly Care Home) yang dibangkitkan Divine Will Society dan berharap inisiatif tersebut dapat diperhalusi untuk direalisasikan pada masa hadapan.
Program berkenaan yang dihadiri kira-kira 150 orang itu turut mendapat sokongan pemimpin masyarakat setempat dalam usaha membudayakan penjagaan kesihatan secara proaktif.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A. Rahman, Penghulu Kawasan Jagoi Sumy Lidei, Ketua Kaum Kampung Serikin Jepes Gobis, Pengerusi Divine Will Society Anthony Bong Divine, Pemegang Amanah Divine Will Society Dato Sim Kiang Chiok dan Presiden Lions Club One Earth Kuching Joseph Tang.-EDISI UKAS