Klinik Kesihatan Semop Perlu Ambulans Segera, Sokongan Kelengkapan Diperkasa
SEMOP: Klinik Kesihatan Semop amat memerlukan ambulans bagi memastikan urusan kecemasan dan penghantaran pesakit dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan, khususnya melibatkan penduduk kampung serta rumah panjang di fuuykawasan sekitar.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, penyediaan ambulans merupakan antara keperluan paling mendesak yang dikenal pasti hasil lawatan beliau ke Klinik Kesihatan Semop hari ini.
Menurut beliau, kemudahan ambulan amat penting bagi menyokong operasi klinik, terutama ketika berdepan kes kecemasan yang memerlukan tindakan segera atau rujukan pesakit ke fasiliti kesihatan yang lebih lengkap.
“Dari segi kelengkapan, klinik ini memerlukan sebuah ambulans dengan seberapa segera untuk kegunaan semasa kecemasan.
“Selain itu, terdapat beberapa keperluan lain seperti penghawa dingin tambahan, tilam pesakit, peralatan makmal, dapur untuk memasak serta water dispenser,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan singkat ke Klinik Kesihatan Semop selepas selesai menghadiri Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) @ KKDW di Kampung Semop pada Sabtu.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut berkesempatan bertemu Pegawai Perubatan yang bertanggungjawab, Dr Aisah serta beberapa kakitangan klinik bagi mendapatkan gambaran mengenai keadaan semasa dan pengoperasian klinik berkenaan.
Dato Ir Yusuf berkata, dari segi jumlah tenaga kerja, pihaknya difahamkan bahawa kakitangan sedia ada secara keseluruhannya sudah agak mencukupi untuk menyokong operasi klinik, walaupun masih terdapat sedikit kekurangan.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa keperluan kemudahan dan peralatan yang mencukupi perlu diberi perhatian bagi memastikan Klinik Kesihatan Semop dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat setempat.
“Saya akan memajukan keperluan ini untuk disampaikan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia setelah mendapat senarai lengkap daripada pihak klinik.
“Ini penting kerana klinik ini menerima kira-kira 600 pengunjung setiap bulan, terdiri daripada penduduk kampung dan rumah panjang yang berdekatan,” katanya.
Justeru, beliau berharap keperluan ambulan dan kelengkapan tambahan tersebut dapat dipertimbangkan serta disediakan sewajarnya bagi memperkukuh keupayaan Klinik Kesihatan Semop dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang cekap, selamat dan berkesan kepada penduduk di kawasan sekitar. - EDISI UKAS