Kerjasama Warga Pendidikan Pacu Kecemerlangan Sekolah Di Samarahan
KUCHING: Kerjasama erat antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan, pentadbir sekolah, guru dan komuniti menjadi pemacu utama kepada kecemerlangan pendidikan di daerah Samarahan, termasuk pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, kejayaan sekolah-sekolah di Samarahan dalam bidang akademik, robotik dan sukan membuktikan keberkesanan kerjasama serta komitmen berterusan semua pihak dalam meningkatkan mutu pendidikan.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa dengan kerjasama yang baik dan komitmen tinggi, kita mampu melahirkan murid cemerlang serta meningkatkan mutu pendidikan di Samarahan,” katanya semasa Majlis Makan Malam Seindah Kenangan, Setulus Sambutan Staf Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan pada Sabtu.
Datuk Rubiah turut menggalakkan warga pendidikan supaya terus meningkatkan pengetahuan, memperkukuh kemahiran pengurusan serta memanfaatkan perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), secara positif dan bertanggungjawab.
“Gunakanlah sains dan teknologi, khususnya AI, secara positif untuk meningkatkan kecekapan sistem pendidikan serta memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pelbagai inisiatif pembangunan pendidikan di Kota Samarahan bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan memberikan manfaat kepada murid dan masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa sumbangan warga pendidik tidak terhenti selepas persaraan, sebaliknya pengalaman dan kepakaran mereka masih relevan untuk dimanfaatkan dalam membimbing generasi muda.
Sehubungan itu, beliau berharap hubungan baik dan komunikasi berkesan antara semua pihak dapat terus diperkukuh bagi mengekalkan kecemerlangan pendidikan di Samarahan, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Hasbi Ancheh serta warga kerja Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan.-EDISI UKAS