98 Penerima Di DUN Tarat Terima Peruntukan RM1.39 Juta
SIBURAN: Seramai 98 penerima terdiri daripada kelab, persatuan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat menerima peruntukan berjumlah RM1.39 juta menerusi Program Penyerahan Cek Projek Khas 2026 pada Sabtu.
Penyerahan cek berjumlah RM1,389,128 itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn di Pusat Khidmat ADUN Tarat.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan merupakan baki peruntukan bagi tahun 2026 yang disalurkan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai projek dan inisiatif pembangunan masyarakat setempat.
Beliau berkata, pembangunan di kawasan DUN Tarat terus diperkasa menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan asas bagi meningkatkan kesejahteraan serta taraf hidup penduduk.
Dalam tempoh lima tahun lalu, sebanyak 166 projek bernilai RM25 juta telah dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP), selain peruntukan RM5 juta bagi kerja membaik pulih bumbung rumah penduduk yang mengalami kerosakan.
Katanya, pembangunan kawasan berkenaan turut mendapat manfaat daripada peruntukan Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dengan nilai keseluruhan projek mencecah RM180 juta.
Antara projek utama ialah pembinaan jalan raya dari Semeru ke Kehum bernilai RM90 juta yang bakal meningkatkan kesalinghubungan kawasan luar bandar, khususnya memudahkan pergerakan penduduk dari Tebedu ke Tapah dan Bau.
Beliau turut memaklumkan mengenai cadangan pelaksanaan fasa kedua projek jalan raya dari Teng Bukap ke Annah Rais di Padawan yang dianggarkan menelan kos RM166 juta.
Dalam pada itu, beliau berharap agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Serian dapat mempercepatkan pelaksanaan projek yang telah diluluskan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati penduduk tanpa kelewatan.
Beliau berkata, Projek Kecil Luar Bandar (MRP) juga memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan masyarakat, khususnya menerusi pelaksanaan projek berskala kecil yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.
Menyentuh aspek pendidikan, beliau menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperluas akses pendidikan tinggi menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), khususnya dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi dalam industri dan ekonomi baharu.
Menurutnya, penekanan terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta latihan kemahiran teknikal penting bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempergiat program pendedahan STEM bagi membantu pelajar mengenal pasti potensi diri serta peluang kerjaya dalam bidang berteknologi tinggi.
Beliau turut menyentuh usaha Sarawak memperkukuh keupayaan penyelidikan dan inovasi menerusi Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC), selain pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang teknologi, pembuatan cip dan industri berteknologi tinggi.
Justeru, beliau menyeru anak-anak Sarawak supaya merebut peluang pendidikan dan biasiswa yang disediakan bagi meningkatkan kelayakan serta menyumbang kepakaran kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.-EDISI UKAS