MARA Salur RM1.06 Juta Pembiayaan & Geran Usahawan Di Betong
SPAOH: Usahawan tempatan di Betong menerima suntikan sokongan perniagaan berjumlah lebih RM1.06 juta menerusi kemudahan pembiayaan dan geran pembangunan usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sokongan berterusan menerusi latihan, peningkatan kualiti produk dan bantuan pemasaran penting untuk memperkukuh daya saing usahawan tempatan, khususnya usahawan wanita dan pengusaha industri kecil.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 Bahagian Betong di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini pada Ahad.
Pada majlis itu, tiga usahawan menerima cek kemudahan pembiayaan berjumlah RM1.027 juta, manakala tiga penerima memperoleh Geran Pembangunan Usahawan berjumlah RM30,676.
Selain sokongan perniagaan, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah RM4,900 kepada 49 pelajar di kawasan Spaoh bagi membantu meringankan perbelanjaan pendidikan mereka.
Datuk Amar Douglas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menambah, MARA berperanan penting dalam menyokong aspirasi pembangunan sosioekonomi Sarawak melalui pelbagai inisiatif yang dapat meningkatkan pendapatan rakyat dan memperluas peluang keusahawanan.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan rakyat ke arah menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi dengan kemakmuran yang dinikmati bersama.
Beliau turut berharap program berkenaan menjadi permulaan kepada kerjasama berterusan antara MARA dengan usahawan serta pengusaha industri kecil di Betong, memandangkan kawasan itu mempunyai potensi perniagaan yang perlu diperkukuh melalui bimbingan dan sokongan bersesuaian.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas dan Ahli Majlis MARA, Ajar@Siti Ajar Yasin. -EDISI UKAS