Balai Raya RM300,000 Tingkat Kemudahan Komuniti Kampung Pelaie Atas
SIMUNJAN: Penduduk Kampung Pelaie Atas kini menikmati kemudahan balai raya baharu bernilai RM300,000 yang dibina menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin bagi memperkukuh aktiviti kemasyarakatan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, penyediaan kemudahan awam seperti balai raya dan gelanggang sukan merupakan antara usaha berterusan bagi memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati manfaat pembangunan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama pemilik tanah amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat dijalankan dengan lancar tanpa berdepan pertikaian berkaitan status tanah.
“Jika isu tanah ini tidak diselesaikan maka dikhuatiri akan timbul masalah seperti yang pernah berlaku di Balai Ringin sebelum ini, dengan pemilik tanah telah mengunci kemudahan awam yang dibina kerana status tanah masih belum diselesaikan.
“Akibatnya, rakyat sendiri yang kehilangan akses kepada kemudahan seperti balai raya dan gelanggang sukan yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Balai Raya Kampung Pelaie Atas di Rumah Jeffery Masan, di sini pada Ahad.
Sehubungan itu, Datuk Snowdan menggalakkan pemilik tanah yang terlibat memberikan kerjasama dalam menyelesaikan urusan berkaitan tanah secara teratur bagi membolehkan lebih banyak projek RTP dilaksanakan untuk manfaat penduduk.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Sarawak perlu terus memperkukuh keupayaan ekonomi dan pengurusan hasil negeri bagi membiayai lebih banyak projek pembangunan, khususnya infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya, pembangunan projek berskala besar seperti pembinaan jambatan dan Jalan Utama Kedua, selain inisiatif strategik melibatkan AirBorneo, Empangan Hidroelektrik Bakun serta Pelabuhan Bintulu, berpotensi memperkukuh kedudukan ekonomi negeri.
Pada majlis itu, Datuk Snowdan turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jeffery Masan, Pelaie Atas, selain RM5,000 kepada Biro Wanita JKKK berkenaan.
Selain pembinaan balai raya bernilai RM300,000, Kampung Pelaie Atas turut menerima manfaat projek menaik taraf jalan dengan kos RM200,000 bagi meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk.
Majlis anjuran JKKK Pelaie Atas itu dihadiri kira-kira 200 orang, termasuk lima penghulu, 26 tuai rumah dan empat kaunselor.
Turut hadir, Penghulu Batang Kanan Simunjan, Jeli Libat, Penghulu Kawasan Balai Ringin, Lama Bungkol, Penghulu Kawasan Munggu Ubah, Johnny Lumie dan Penghulu Batang Strap, Judi Inau.-Edisi UKAS