SVT Rangkul Kejuaraan Berganda Bola Tampar Piala YB Rodiyah Sapiee
GEDONG: Pasukan SVT mencipta kejayaan berganda apabila menyapu bersih kejuaraan kategori lelaki dan wanita dalam Pertandingan Bola Tampar Tertutup Piala YB Rodiyah Sapiee dan Jemputan Khas yang melabuhkan tirainya di Padang Futsal Kampung Kanchong, Gedong pada Ahad.
Kejayaan itu menyaksikan SVT membuktikan keunggulan dalam kedua-dua kategori sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM3,000 berserta piala dan pingat.
Dalam aksi final kategori lelaki, SVT menewaskan PVT Gold menerusi kemenangan dua set berturut-turut dengan keputusan 25-19 dan 29-27 dalam perlawanan sengit yang mendapat perhatian penonton.
Bagi kategori wanita, SVT turut mengungguli saingan selepas muncul juara, manakala PVT Chan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan RTD menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, PVT Gold muncul naib juara kategori lelaki, manakala RTD melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
Kedua-dua pasukan juara masing-masing menerima wang tunai RM1,500 berserta piala dan pingat, manakala naib juara membawa pulang RM1,000 dan pingat serta tempat ketiga menerima RM500 dan pingat.
Kejohanan anjuran Padang Volleyball Team Gedong yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Oktober itu menghimpunkan 18 pasukan, terdiri daripada 12 pasukan lelaki dan enam pasukan wanita.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee turut hadir menyaksikan perlawanan akhir serta memberikan sokongan kepada para pemain yang mengambil bahagian.
Penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja membuka ruang kepada pemain tempatan mempamerkan bakat dan kemahiran, malah menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat, menyemarakkan semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
Turut hadir, Pengerusi ACE Investment Bank Kuala Lumpur merangkap Bendahari PBB Cawangan Gedong, Dato Posa Majais, Naib Ketua PBB Cawangan Gedong, Haji Ali Bujang, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Gedong, Hasanah Majais, Pemanca Melayu Zon Gedong Proper, Abang Ronnie Abang Sa’adeli dan Penghulu Melayu Zon Gedong Proper, Adian Salleh.-EDISI UKAS