SPAOH: Seramai 500 usahawan dan anggota komuniti di Betong menyertai Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 bagi memperluas pengetahuan perniagaan serta meneroka peluang keusahawanan untuk menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi keluarga.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sambutan menggalakkan itu mencerminkan minat wanita dan komuniti luar bandar untuk meningkatkan pengetahuan serta meneroka bidang perniagaan sebagai laluan membina kehidupan ekonomi yang lebih baik.
Menurutnya, pembangunan keusahawanan perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada peningkatan pendapatan individu, malah kepada usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini pada Ahad.
Datuk Rubiah berkata, inisiatif seumpama itu penting untuk memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya wanita dan suri rumah, mengenai potensi keusahawanan sebagai pilihan menjana pendapatan serta membina kerjaya yang berdaya saing.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan peluang mendapatkan maklumat, ilmu dan bimbingan berkaitan perniagaan bagi meningkatkan keupayaan mengurus serta mengembangkan perusahaan masing-masing.
Program berkenaan merupakan antara 17 inisiatif di bawah Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita dan Pembeli MARA 2025–2030, yang memberi tumpuan kepada pembangunan potensi wanita dan komuniti menerusi bidang keusahawanan.
Antara pengisian program ialah taklimat mengenai Ekosistem MARA, pengenalan pendaftaran perniagaan dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bagi membantu peserta memahami kemudahan, prosedur serta peluang yang boleh dimanfaatkan.
Penyertaan melibatkan usahawan sekitar Betong, komuniti Spaoh, penyewa premis MARA, penerima kemudahan pembiayaan dan geran MARA serta penerima bantuan persekolahan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Program itu turut menjadi platform menghubungkan komuniti dengan agensi berkaitan bagi memperluas akses kepada maklumat dan inisiatif pembangunan, sekali gus menggalakkan lebih ramai penduduk meneroka peluang perniagaan. -EDISI UKAS