SIBU: Majlis Islam Sarawak (MIS) terus mengorak langkah memperkasakan agenda pendidikan agama di negeri ini menerusi penubuhan Sekolah Menengah Islam Antarabangsa (SMAIS) yang dijadualkan mula beroperasi tahun depan.
Setiausaha MIS merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Datu Mual Suaud berkata, sekolah antarabangsa berkenaan menawarkan turut kurikulum unik gabungan Cambridge dan Aljunied, selain kurikulum kebangsaan, kurikulum tahfiz dan hafazan.
“Bagi fasa awal pengambilan yang bermula Januari depan, seramai 60 pelajar pertama akan ditempatkan sementara di Sekolah Rendah Datuk Murtada Haji Daud Kuching, sementara menunggu bangunan sekolah tersebut siap sepenuhnya yang dijangka pada Mac 2027.
“Pengambilan perintis ini melibatkan murid-murid dari Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (MATTARY) Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Ziarah Mahabbah MIS 1448H/2026M Zon Tengah (Sibu) di Dewan Baitulmal Kompleks Islam Sibu, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Datu Mual menambah bahawa prasarana pendidikan agama di bahagian lain turut tidak dilupakan, di mana MIS merancang untuk membina sebuah lagi Sekolah Menengah Agama di Bintulu.
Jelasnya, langkah tersebut bagi memastikan anak-anak di pelbagai bahagian di Sarawak, termasuk daerah yang belum mempunyai sekolah agama seperti Betong, tetap berpeluang untuk bersaing dan melanjutkan pengajian agama ke peringkat lebih tinggi.
“Kita mahu memastikan pendidikan, terutamanya pendidikan agama, tidak ketinggalan dalam pembangunan masyarakat kita.
“Dengan kemudahan pendidikan percuma dan pelbagai bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak hari ini, kita mahu generasi muda memanfaatkan peluang yang ada untuk menuntut ilmu setinggi mungkin,” tegas beliau.
Turut hadir Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS), Abang Mat Ali Abang Masagus, Ketua Sektor Operasi Tabung Baitulmal Sarawak, Mohd Yusree Mohd Zain, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Sarawak, Abang Faisal Abang Marzuki, Ketua Pegawai Eksekutif DHQc-MIS, Ustaz Mohamad Shalahudin Marzuki, wakil Pemangku Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Mohd Yusree Zain serta Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Sibu, Rafeah Buang.-EDISI UKAS