Sarawak Iktiraf Kecemerlangan Atlet SUKMA, Sedia Insentif Lebih RM1 Juta
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan insentif kemenangan berjumlah lebih RM1 juta kepada atlet negeri yang meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 di Selangor termasuk RM15,000 bagi setiap pemenang pingat emas acara individu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kadar insentif itu dikekalkan seperti yang diberikan ketika Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA sebelum ini.
Menurut beliau, atlet yang memenangi pingat perak akan menerima RM5,000, manakala pemenang gangsa memperoleh RM3,000, sementara insentif tambahan RM1,000 disediakan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan.
“Saya ada maklumkan tadi dalam ucapan penggulungan bahawa insentif itu akan diberikan, dan saya berharap ia dapat disalurkan sebelum penghujung tahun ini, kalau boleh, pada bulan November ini kerana kita sudah sampai ke penghujung Oktober.
“Jumlah insentif itu akan sama seperti yang diberikan semasa SUKMA terakhir yang kita adakan di Kuching,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan bahawa pengiraan insentif bagi acara individu dan berpasukan akan menggunakan formula sama seperti yang dilaksanakan ketika SUKMA di Kuching.
“Insentif itu mempunyai skala pengiraan tersendiri bagi acara individu manakala bagi acara berpasukan, sekiranya terdapat 15 orang dalam satu pasukan, kita tidak boleh memberikan RM15,000 kepada setiap atlet.
“Terdapat formula khusus untuk pengiraan tersebut. Mereka yang pernah menerima atau melihat formula berkenaan semasa SUKMA di Kuching akan mendapati bahawa formula yang digunakan kali ini adalah sama,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan atlet Para SUKMA turut menerima insentif pada kadar yang sama seperti atlet SUKMA hasil persetujuan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurut beliau, pemberian insentif berkenaan merupakan pengiktirafan Kerajaan Sarawak terhadap pencapaian dan kecemerlangan atlet, selain menghargai komitmen serta usaha gigih mereka dalam mengharumkan nama negeri di pentas sukan kebangsaan.-EDISI UKAS