Sarawak Sasar Jadi Pengeksport Bersih Makanan Menjelang 2030
KUCHING: Sarawak terus mempergiat transformasi sektor pertanian ke arah industri moden, berteknologi tinggi dan berdaya saing bagi merealisasikan sasaran menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sektor pertanian yang kini menyumbang 10.4 peratus atau kira-kira RM15 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negeri.
“Dengan sumbangan sektor pertanian sebanyak 10.4 peratus kepada KDNK, iaitu kira-kira RM15 bilion, kita perlu berusaha dengan lebih gigih. Kita menyasarkan untuk menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, usaha mencapai sasaran itu memerlukan perubahan menyeluruh daripada pertanian tradisional dan sara diri kepada industri berorientasikan perniagaan yang mampu menjana pulangan ekonomi lebih tinggi kepada pengusaha.
“Namun, kini kita melihat pertanian sebagai satu perniagaan. Apa sahaja yang kita lakukan, kita perlu melihat pulangan pelaburan (ROI). Jika ia tidak menguntungkan, ke manakah kita harus pergi selepas ini?” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada penggunaan teknologi moden termasuk Internet Kebendaan (IoT), pembangunan kawasan pertanian berteknologi tinggi serta kaedah pengeluaran yang lebih cekap dan produktif.
Katanya, tanaman bernilai komersial seperti kelapa, nanas, durian dan pisang dikenal pasti antara komoditi berpotensi untuk diperkembangkan bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport.
Pada masa sama, usaha memperkukuh keseluruhan rantaian nilai pertanian daripada pengeluaran, pemprosesan hingga pemasaran turut diberi perhatian bagi meningkatkan daya saing produk tempatan.
Beliau berkata, pembangunan industri hiliran dan pelancongan agro juga berupaya mewujudkan peluang perniagaan baharu, sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti pertanian, khususnya di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, transformasi sektor pertanian turut menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kepada sekurang-kurangnya RM15,000 menjelang 2030.
Jelasnya, penyertaan lebih ramai golongan muda dalam bidang pertanian moden amat penting bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan, selain menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi.
Beliau turut menggalakkan pendekatan pertanian secara berkelompok menerusi persatuan petani bagi membolehkan perkongsian sumber, pengurangan kos operasi dan peningkatan hasil pengeluaran.
Selain itu, pembangunan infrastruktur asas termasuk jalan raya, jalan ladang, bekalan air dan capaian komunikasi akan terus menjadi keutamaan bagi menyokong aktiviti pertanian serta memudahkan pemasaran hasil, terutama di kawasan luar bandar.
Beliau menegaskan, transformasi pertanian bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan, malah memastikan sektor berkenaan mampu menjana pendapatan lebih mampan, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh kesejahteraan komuniti pertanian di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS