Pendidikan Kunci Ubah Masa Depan Masyarakat Luar Bandar
BELAGA: Pendidikan menjadi asas penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda Sarawak membina masa depan yang lebih baik.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, ibu bapa perlu mengutamakan pendidikan anak-anak, termasuk merebut peluang ke sekolah antarabangsa, pendidikan vokasional dan teknikal serta pengajian tinggi menerusi inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Katanya, di peringkat DUN N.65 Belaga, Jawatankuasa Pendidikan turut menyediakan bantuan insentif kepada anak-anak tempatan yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi bagi meringankan perbelanjaan awal mereka.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Uma Lahanan, Long Semuang, pada Selasa.
Selain pendidikan, beliau menggalakkan penduduk menceburi penanaman kelapa sawit bagi meningkatkan pendapatan, sambil memaklumkan bahawa cadangan pembinaan pusat pengumpulan buah tandan segar kelapa sawit di Belaga telah mendapat persetujuan awal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), tertakluk kepada penilaian tapak.
Menyentuh pelaksanaan RTP, sebanyak RM5 juta diperuntukkan setiap tahun bagi kawasan DUN Belaga, dengan pemilihan projek berdasarkan keutamaan permohonan rumah panjang serta penilaian Pejabat Daerah, Pejabat Residen dan agensi teknikal berkaitan.
Pada majlis itu, tiga projek RTP dirasmikan, melibatkan gelanggang futsal, tempat letak kereta dan Gereja BEM di Uma Lahanan.
Datuk Liwan turut merakamkan penghargaan kepada JKKK, ketua kaum dan penduduk atas kerjasama dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta memberi manfaat kepada komuniti.
Hadir sama, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Jimbai Bala, Temenggong Ajang Sirek, Pemanca Unak Akah, Ketua Kaum Uma Lahanan, Joe Among serta penghulu dan ketua kaum dari kawasan Belaga.-EDISI UKAS