SMK Gedong Johan INNOWASTE 2026, Inovasi Pengurusan Sisa Jadi Tumpuan
SERIAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong membuktikan keupayaan pelajar menghasilkan idea kreatif berteraskan kelestarian alam sekitar apabila muncul johan Pertandingan Ciptaan Circular Classroom kategori sekolah menengah sempena Program INNOWASTE 2026.
Kejayaan itu menyaksikan SMK Gedong membawa pulang hadiah wang tunai RM800, manakala SMK Siburan meraih naib johan dengan hadiah RM500 dan SMK Sri Sadong menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM350.
Pertandingan berkenaan merupakan antara pengisian utama INNOWASTE 2026 yang berlangsung selama dua hari, dari 26 hingga 27 Oktober, di Dewan Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Serian.
Program tersebut menjadi platform untuk mencungkil kreativiti dan bakat inovasi pelajar, khususnya dalam menghasilkan penyelesaian berkaitan pengurusan sisa, penggunaan semula bahan terbuang serta amalan ekonomi kitaran.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyempurnakan majlis penangguhan program berkenaan serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada Selasa.
Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Koran dinobatkan sebagai johan, diikuti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beratok di tempat kedua dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tungkah Melayu di tempat ketiga.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Kota Samarahan muncul johan kategori pameran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menerima hadiah wang tunai RM800.
Majlis Daerah Serian meraih naib johan dengan hadiah RM500, manakala Majlis Daerah Sebuyau menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM350.
Pemenang saguhati bagi setiap kategori pula menerima hadiah wang tunai RM150.
Selain pertandingan inovasi dan pameran, program itu turut menampilkan pertandingan mewarna sebagai pendekatan mendidik generasi muda mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar sejak usia awal.
Penganjuran INNOWASTE 2026 turut membuka ruang kerjasama antara institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti dalam memperkenalkan pendekatan kreatif terhadap pengurusan sisa secara mampan.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Daerah Serian, Dato Peter Minos, Setiausaha Majlis Daerah Serian, Jannice Abraham, John Illus, Dr. Simon Sinang Bada dan Dr. Haseani Hussein.-EDISI UKAS