61 Pekebun Sawit Di Tarat Diperkasa Dengan Ilmu Pertanian Moden
SERIAN: Seramai 61 pekebun kecil kelapa sawit di Kampung Rayang berpeluang meningkatkan kemahiran dan produktiviti tanaman menerusi Kursus Diseminasi Tanaman Kelapa Sawit di bawah inisiatif Agriculture Facilitation Fund (AFF) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat.
Kursus anjuran Jabatan Pertanian Daerah Serian yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Rayang pada Selasa itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik penanaman yang betul, pengurusan kebun secara sistematik serta amalan pertanian moden bagi meningkatkan hasil dan pendapatan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, tanaman kelapa sawit mempunyai potensi ekonomi yang besar dan mampu menjana pulangan lumayan kepada pekebun sekiranya diusahakan menggunakan kaedah yang betul serta berasaskan ilmu pengetahuan.
Menurutnya, meskipun harga kelapa sawit dipengaruhi turun naik pasaran dunia, permintaan global terhadap komoditi itu kekal meluas berikutan penggunaannya dalam pelbagai industri, termasuk makanan, sabun dan kosmetik.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pekebun memanfaatkan kemajuan sains, teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti tanaman, sekali gus memastikan sektor pertanian terus berdaya saing.
Beliau turut berharap generasi muda Sarawak dapat meneroka potensi penghasilan produk hiliran berasaskan kelapa sawit melalui penyelidikan dan inovasi bagi meningkatkan nilai tambah komoditi berkenaan.
Katanya, inisiatif tersebut diperkenalkan bagi membantu pekebun kecil, khususnya di kawasan luar bandar, mendapatkan sokongan, latihan dan pengetahuan yang diperlukan untuk memajukan kegiatan pertanian mereka.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak hanya bergantung kepada kaedah pertanian konvensional, sebaliknya berani mencuba pendekatan baharu yang bersesuaian dengan keadaan kebun masing-masing.
Sementara itu, Pegawai Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Serian, Gasan Gani berkata, pelaksanaan AFF merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sektor pertanian luar bandar melalui pembangunan kemahiran dan peningkatan keupayaan pekebun kecil.
Menurutnya, penganjuran kursus seumpama itu membolehkan peserta memperoleh pengetahuan secara langsung daripada pihak berkepakaran, selain membantu mereka mengamalkan teknik pengurusan tanaman yang lebih berkesan.
Terdahulu, Dato Sri Roland menyempurnakan perasmian kursus berkenaan dan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Daerah Serian serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) atas komitmen memperkasa komuniti pertanian setempat.-EDISI UKAS