Sisa Buangan Berpotensi Jana Peluang Ekonomi Baharu
SERIAN: Pengurusan sisa perlu dilihat sebagai peluang menjana nilai ekonomi baharu, bukan sekadar usaha melupuskan bahan buangan, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh ekonomi kitaran dan pembangunan mampan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, perubahan pendekatan itu penting bagi mengurangkan pembaziran, mengoptimumkan penggunaan sumber serta membuka ruang kepada penghasilan produk inovatif yang mempunyai nilai komersial.
Menurutnya, bahan yang selama ini dianggap tidak berguna sebenarnya masih berpotensi dimanfaatkan semula melalui kreativiti, inovasi dan penggunaan teknologi bersesuaian.
“Bahan yang selama ini dianggap tidak berguna sebenarnya masih berpotensi untuk dimanfaatkan semula. Kita perlu memberikan perhatian kepada usaha mengurangkan penghasilan sisa, memanjangkan tempoh penggunaan barangan dan mendapatkan semula nilai daripada bahan yang masih boleh digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penangguhan Program InnoWaste MPHLG 2026 anjuran Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) di Dewan Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Serian pada Selasa.
Dato Sri Roland menjelaskan, pendekatan ekonomi kitaran tidak semestinya memerlukan pelaburan besar atau teknologi kompleks, sebaliknya boleh dimulakan melalui amalan harian seperti mengurangkan pembaziran makanan, membaiki barangan dan mengasingkan bahan untuk dikitar semula.
Katanya, usaha itu selaras dengan hala tuju pembangunan negeri menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Tindakan Kelestarian Sarawak 2030.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan agenda kelestarian alam sekitar memerlukan penglibatan menyeluruh kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pendidikan, sektor industri dan masyarakat.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland menyifatkan penganjuran InnoWaste 2026 sebagai platform penting untuk mencungkil bakat inovasi generasi muda, khususnya dalam menghasilkan penyelesaian kreatif terhadap cabaran pengurusan sisa dan pencemaran alam sekitar.
Beliau menggalakkan pelajar supaya tidak mengehadkan kreativiti kepada pertandingan semata-mata, sebaliknya terus mengembangkan idea yang berpotensi diterjemahkan kepada produk atau penyelesaian praktikal untuk manfaat masyarakat.-EDISI UKAS