Pesta Sosial Dan Kebudayaan Pakan Platform Eratkan Hubungan Masyarakat Setempat
PAKAN: Pesta Sosial dan Kebudayaan Pakan menjadi platform untuk penduduk berinteraksi, mengeratkan hubungan sesama komuniti serta memelihara warisan budaya masyarakat setempat.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, interaksi sosial penting dalam menyokong kesejahteraan fizikal dan mental, selain memberi ruang kepada masyarakat berehat daripada kesibukan rutin harian.
Menurutnya, aktiviti sosial seperti itu membolehkan penduduk meluangkan masa bersama, bergaul dan mengukuhkan perpaduan dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Sosial dan Kebudayaan Pakan di Laman Pakan, pada Selasa.
Pesta yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober itu menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya pertandingan bertaboh, karaoke terbuka, pameran dan jualan hasil pertanian serta persembahan artis Iban jemputan.
Penganjuran itu turut membuka peluang kepada penduduk memperkenalkan hasil keluaran tempatan dan mengetengahkan keunikan kraftangan masyarakat setempat.
Majlis penangguhan rasmi pesta dijadualkan berlangsung pada malam 28 Oktober di Dewan Masyarakat Pakan, dengan jamuan makan malam sebagai acara kemuncak.-EDISI UKAS