RM28.7 Juta Diperuntukkan, Bina Kompleks Baharu JPJ Limbang
LIMBANG: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM28.7 juta bagi pembinaan kompleks baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang yang merangkumi tiga blok kuarters kediaman untuk meningkatkan kemudahan operasi dan kebajikan warga kerjanya.
Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Baharu JPJ Cawangan Limbang itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah pada Rabu.
Pembangunan kompleks itu bertujuan menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk Limbang dan kawasan sekitarnya.
Projek itu dijangka mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan, namun kontraktor diharap dapat mempercepatkan pelaksanaannya kepada 18 bulan tanpa menjejaskan spesifikasi dan kualiti pembinaan.
Anthony Loke dalam ucapannya berharap reka bentuk dalaman kompleks berkenaan mengadaptasi konsep moden seperti pejabat JPJ di Terminal Bersepadu Selatan dan Putrajaya bagi mewujudkan suasana perkhidmatan yang lebih selesa serta mesra pelanggan.
Beliau turut mencadangkan supaya tapak kompleks itu berpotensi dimanfaatkan untuk menempatkan pusat pemeriksaan kenderaan pada masa hadapan bagi memudahkan penduduk mendapatkan pelbagai perkhidmatan berkaitan kenderaan di satu lokasi.
Hadir sama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Dato’ Aedy Fadly Ramly, Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak, Cornelia Wong Chui, Mantan ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang; Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi dan Jurutera JKR Bahagian Limbang, Louis Jonathan Philip. -EDISI UKAS