Program Pathways Bantu Lima Usahawan Mikro Tembusi Pasaran Lebih Luas
KUCHING: Lima perusahaan mikro Sarawak bakal menerima bimbingan intensif selama empat bulan menerusi Program Pathways bagi meningkatkan daya saing produk, memperkukuh penjenamaan serta membuka peluang menembusi pasaran lebih luas, termasuk melalui platform digital dan e-dagang.
Program anjuran bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) serta The Culture Capital Sdn. Bhd itu memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan usahawan tempatan supaya lebih berdaya saing dan mampu mengembangkan perniagaan secara mampan.
Sebanyak 15 perusahaan telah disenarai pendek untuk menjalani proses penilaian sebelum lima daripadanya dipilih menyertai program pembangunan keusahawanan berkenaan.
Sesi pembentangan dan penilaian peserta berlangsung di Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka di sini, pada Rabu.
Proses pemilihan dikendalikan panel juri yang terdiri daripada wakil MINTRED, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) serta Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Penilaian memberi tumpuan kepada potensi pertumbuhan perniagaan, kesediaan peserta serta keperluan pembangunan setiap perusahaan bagi memastikan bimbingan yang diberikan dapat menghasilkan impak nyata.
Lima perusahaan yang terpilih akan mengikuti program bimbingan berfokus merangkumi pengurusan perniagaan, pemantapan identiti jenama, penambahbaikan pembungkusan produk serta strategi pemasaran digital.
Pendekatan yang disesuaikan dengan keperluan setiap perusahaan itu diharap dapat meningkatkan nilai komersial produk tempatan, sekali gus membantu usahawan memperluas rangkaian pelanggan dan meneroka peluang pasaran baharu.
Pelaksanaan Program Pathways turut mencerminkan komitmen kerjasama antara sektor swasta dan agensi kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan Sarawak, khususnya bagi membantu perusahaan mikro berkembang menjadi perniagaan yang lebih berdaya saing dan mampan.
Inisiatif itu juga menyokong usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi tempatan.-EDISI UKAS