Pendidikan Alam Sekitar Perlu Diterjemah Kepada Tindakan Nyata
KUCHING: Pendidikan alam sekitar tidak seharusnya terhad kepada pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pengalaman dan amalan praktikal bagi melahirkan generasi muda yang lebih peka, bertanggungjawab serta berdaya tahan menghadapi cabaran perubahan iklim.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggabungkan pengetahuan komuniti tempatan dan kerjasama pelbagai pihak mampu menjadikan pendidikan alam sekitar lebih berkesan serta relevan dengan kehidupan seharian.
“Pendidikan alam sekitar dapat membantu golongan muda memahami isu di sekeliling mereka, menggalakkan rasa ingin tahu dan penyertaan, serta membina keyakinan untuk membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan Environmental Education Conference 2026 di sini pada Selasa.
Tambah beliau, hasil perbincangan dan resolusi persidangan itu akan dijadikan panduan dalam pembangunan modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti di Sarawak dengan menggabungkan amalan terbaik antarabangsa serta pengetahuan tempatan.
Beliau menegaskan, modul berkenaan perlu bersifat praktikal, mudah dilaksanakan dan inklusif supaya manfaatnya turut dinikmati masyarakat luar bandar serta pedalaman yang berdepan kekangan kemudahan, akses internet dan sumber pembelajaran.
Jelasnya, pendidikan alam sekitar juga perlu diperluas melangkaui institusi pendidikan dengan melibatkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur bagi membudayakan amalan pemeliharaan alam sekitar secara berterusan.
Turut hadir, Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Environmental Education Conference 2026, Datu Jack Liam.-EDISI UKAS