Media Berperanan Bantu Tangani Isu Masyarakat, Perkukuh Pembangunan Miri
MIRI: Laporan media mengenai isu infrastruktur dan kemudahan awam membantu pihak berkuasa mengenal pasti masalah masyarakat serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, beliau sentiasa mengalu-alukan kritikan membina daripada media kerana ia membuka ruang kepada pihak berkuasa untuk mengenal pasti kelemahan dan mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
Menurutnya, bagaimanapun, sesetengah masalah memerlukan perancangan rapi, peruntukan kewangan dan penyelarasan antara agensi kerajaan sebelum dapat diselesaikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam N.74 Pujut Media Appreciation Night 2026 yang dihadiri kira-kira 60 orang di Imperial Hotel, Miri pada Rabu.
Adam turut menegaskan hubungan terbuka antara media dengan kerajaan penting bagi memastikan isu rakyat mendapat perhatian sewajarnya, sekali gus menyokong pembangunan bandar dan komuniti.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kewartawanan profesional dalam menghadapi perkembangan media sosial dan kecerdasan buatan (AI) yang mempercepat penyebaran maklumat, termasuk berita tidak tepat dan kandungan mengelirukan.
Justeru, beliau berharap pengamal media terus mematuhi etika kewartawanan dengan memastikan setiap laporan disampaikan secara tepat, adil dan seimbang demi membantu masyarakat memahami sesuatu isu secara menyeluruh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai, termasuk ketika bertugas di luar waktu pejabat, hujung minggu dan cuti umum.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA), Chai Chon Chin merakamkan penghargaan kepada Adam atas penganjuran majlis berkenaan buat kali kedua.
Beliau turut menghargai sokongan Adam terhadap aktiviti tahunan NSJA, termasuk program pembersihan pantai dan pengutipan pukat hantu yang menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan komuniti. -EDISI UKAS