KUCHING: Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer bernilai kira-kira RM298.49 juta akan dibuka kepada pengguna jalan raya bermula jam 10.30 pagi esok iaitu 30 Oktober 2026 sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan darat di kawasan pesisir tengah Sarawak.
Pembukaan jambatan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk daripada 14 penempatan di Pulau Bruit, selain memudahkan pergerakan harian dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat, khususnya sektor pertanian dan perikanan.
Jambatan berkenaan turut melengkapkan rangkaian jalan pesisir bersama Jambatan Muara Lassa, Batang Igan dan Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang di Batang Rajang.
Rangkaian tersebut menyediakan lebih banyak pilihan laluan kepada pengguna untuk menuju ke Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Kuching, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan pesisir dengan pusat pertumbuhan ekonomi.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo pada 8 Oktober lalu memaklumkan bahawa kerja penuangan konkrit bagi segmen terakhir jambatan itu telah dilaksanakan, menandakan projek berkenaan memasuki fasa akhir pembinaan.
Sementara itu, perkhidmatan feri Batang Paloh yang sekian lama menjadi penghubung utama penduduk dijadual menamatkan operasi seiring dengan pembukaan jambatan berkenaan.
Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan serta papan tanda yang disediakan di lokasi bagi memastikan perjalanan selamat dan lancar.-EDISI UKAS