RM45,000 MRP Bantu 14 Organisasi Perkasa Aktiviti Komuniti Pujut
MIRI: Sebanyak RM45,000 disalurkan kepada 14 persatuan, pertubuhan, institusi pendidikan dan rumah ibadat di kawasan Pujut bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti kebajikan, pendidikan, sukan dan kemasyarakatan.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, peruntukan menerusi geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) itu bertujuan membantu organisasi setempat melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian MRP anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Pujut Miri, pada Khamis.
Menurutnya, sokongan kepada organisasi komuniti penting bagi memastikan pelbagai inisiatif kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara berterusan, di samping memperkukuh kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dengan masyarakat dalam menyokong pembangunan kawasan Pujut, termasuk penambahbaikan kemudahan awam seperti gelanggang sukan, taman mini, jalan raya, sistem perparitan dan lampu jalan.
Adam menggalakkan semua penerima memanfaatkan peruntukan berkenaan secara bertanggungjawab mengikut keperluan masing-masing, selain terus menyalurkan maklum balas mengenai isu setempat bagi membolehkan tindakan sewajarnya dikenal pasti.
Antara penerima ialah Persatuan Kebajikan Islam Perubatan (PERKIP) Cawangan Miri, St. Columba’s Parish, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Morsjaya Miri, Persatuan Sofbol Sarawak, Kelab Karate Goshin-Ryu Merbau dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Permaisuri.
Turut menerima peruntukan ialah Pejabat Residen Bahagian Miri, Pertubuhan Kebajikan Rumpun Islam Sejagat Miri, Pertubuhan Orang Cacat Sarawak Cawangan Miri, Pelayanan Warga Emas BEM Baithani, PIBG Sekolah Kebangsaan Pujut Corner, Jawatankuasa Perayaan Gawai Dayak Bahagian Miri, Gereja Holy Rosary Piasau Utara dan Surau Darul Mukmin Kampung Riam Jaya.
Penyaluran MRP itu diharap dapat memperluas manfaat aktiviti organisasi penerima serta memperkukuh pembangunan sosial dan perpaduan komuniti di kawasan Pujut.-EDISI UKAS