112 Lampu Jalan Permyjaya Dinaik Taraf, Tingkat Keselamatan Waktu Malam
MIRI: Sebanyak 112 lampu jalan di Permyjaya telah dinaik taraf kepada lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi menangani masalah pencahayaan tidak mencukupi dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya pada waktu malam.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kerja naik taraf itu dilaksanakan susulan maklum balas penduduk yang mendapati lampu jalan jenis sodium sebelum ini kurang memberikan pencahayaan yang memuaskan.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pemasangan 52 lampu jalan LED di Jalan Murni, Permyjaya, pada Rabu.
Menurutnya, penduduk yang menyertai tinjauan berkenaan menyambut baik perubahan itu kerana pencahayaan yang lebih terang membantu meningkatkan keselesaan dan rasa selamat ketika melalui jalan berkenaan pada waktu malam.
Usaha menaik taraf lampu jalan kepada LED turut dilaksanakan di Tudan dan Desa Senadin bagi memperluas kemudahan pencahayaan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Dato Sri Lee berkata, maklum balas masyarakat akan terus diberi perhatian bagi memastikan kemudahan awam, khususnya yang berkaitan keselamatan pengguna jalan raya, dapat ditambah baik mengikut keperluan setempat.-EDISI UKAS