BON Miri Himpun Lebih 60 Pemain Industri, Perkukuh Akses Kepada Peluang Pelaburan
MIRI: Lebih 60 pemain industri dan usahawan menyertai sesi Business Opportunity Networking (BON) Miri bagi memperluas peluang perniagaan serta mendapatkan maklumat mengenai kemudahan perdagangan dan sokongan pelaburan yang tersedia di Sarawak.
Program anjuran Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Sarawak itu berlangsung di Imperial Hotel, Miri pada Selasa, 27 Oktober.
Platform berkenaan menghubungkan komuniti perniagaan dengan agensi kerajaan bagi membantu syarikat memahami prosedur perdagangan antarabangsa, mengenal pasti kemudahan pelaburan dan meneroka potensi pengembangan operasi.
Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sarawak, Griffith Goba, berkongsi mengenai Sijil Tempasal (Certificate of Origin), termasuk kepentingannya dalam perdagangan antarabangsa serta prosedur yang perlu dipatuhi oleh syarikat.
Penolong Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zakiyah Nawawi, pula menerangkan kemudahan dan bantuan kerajaan yang boleh dimanfaatkan syarikat untuk mengembangkan perniagaan serta meneroka peluang pelaburan di Sarawak.
Sementara itu, Pengarah SIRIM Sarawak, Shahrizan Mohd Sahmoni, menekankan kepentingan latihan, penerapan teknologi dan ekosistem Pengujian, Pemeriksaan, Pensijilan dan Kalibrasi (TICC) dalam meningkatkan keupayaan serta daya saing perusahaan.
Sesi pengenalan perniagaan dan soal jawab turut memberi peluang kepada peserta berkongsi aktiviti masing-masing, mengenal pasti ruang kerjasama serta mendapatkan penjelasan secara langsung daripada agensi berkaitan.
Program itu diketuai Pengerusi FMM Cawangan Sarawak, Leslie Phuan, dengan sokongan Pengurus Cawangan FMM Sarawak, Farrez Teh. Turut hadir, Ahli Majlis FMM, Mohammad Hafidz bin Rohani.
FMM Cawangan Sarawak akan meneruskan inisiatif BON di Bintulu bagi memperluas jaringan perniagaan dan menggalakkan kerjasama antara pemain industri dengan agensi kerajaan, sekali gus menyokong pertumbuhan perusahaan yang lebih berdaya saing di Sarawak.-EDISI UKAS