SIWA 2026 Sasar 374 Peserta, Perkukuh Jaringan Kepimpinan Wanita Antarabangsa
KUCHING: South Asian International Women’s Assembly (SIWA) 2026 menyasarkan penyertaan 374 peserta bagi persidangan antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuching dari 17 hingga 19 November ini, dengan 186 peserta telah mengesahkan kehadiran setakat ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penganjur sedang berusaha meningkatkan penyertaan, khususnya dari dalam negara, susulan cabaran kos perjalanan dan perbelanjaan yang menjejaskan perancangan awal untuk menarik lebih ramai peserta antarabangsa.
Menurut beliau, peningkatan harga tiket penerbangan dan kos penginapan, selain perkembangan konflik antarabangsa, merupakan antara faktor yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan persidangan itu.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, mereka tetap komited untuk meneruskan penganjuran ini,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan wakil Sarawak Indian Women Association (SIWA) di Wisma Wanita, di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga Penaung SIWA 2026 berkata, penganjur perlu menyesuaikan perancangan dengan sumber kewangan yang tersedia bagi memastikan program dapat dilaksanakan mengikut kemampuan.
Persidangan bertemakan “Himalaya to the Hornbills: The Global Ascent of Sarawak Asian Women Leaders” itu dianjurkan buat kali pertama oleh SIWA sebagai platform untuk pemimpin wanita, ahli akademik dan golongan profesional berkongsi pengalaman, memperluas jaringan antarabangsa serta meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan wanita.
Antara agenda utama persidangan ialah sesi “Leading from the Front” yang membincangkan kepimpinan wanita di peringkat global, pembinaan keamanan dan peranan wanita dalam menangani isu keselamatan serta konflik.
Persidangan itu turut merangkumi perbincangan mengenai media, pendidikan, biodiversiti dan alam sekitar, selain usaha mengembangkan kraf tradisional kepada peluang komersial bagi memperluas penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi.
Dato Sri Fatimah berkata, penganjuran itu turut memperlihatkan potensi organisasi tempatan untuk membawa inisiatif dari Sarawak ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama dan komitmen berterusan.
Persidangan tersebut akan berlangsung di Riverside Hotel, Kuching, sebelum penganjuran seterusnya diserahkan kepada Mauritius pada 2028.-EDISI UKAS