KUCHING: Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQH) 2027, sekali gus memperkukuhkan usaha menyemarakkan syiar Islam di negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, keputusan penganjuran itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk majlis berkenaan yang berlangsung pada Khamis.
Katanya, acara tahunan itu bukan sekadar menentukan johan qari dan qariah, sebaliknya turut menjadi wadah dalam menyemarakkan kecintaan umat dan rakyat terhadap al-Quran.
“Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan atau pertandingan untuk menentukan qari dan qariah terbaik negara, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan kecintaan umat dan rakyat terhadap al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Persada Majma, Kuching pada Khamis.
Sempena majlis itu katanya, Pameran Khat Sedunia turut akan dianjurkan di Kuching yang akan mengetengahkan seni khat bertaraf dunia.
Tambahnya lagi, penganjuran tersebut mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh syiar Islam serta meningkatkan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian.
"Al-Quran bukan sahaja perlu dibaca dan dihafaz, malah difahami, dihayati serta dijadikan panduan dalam membentuk akhlak, memperkukuh integriti dan membina masyarakat harmoni," katanya.
Persiapan penganjuran akan diselaraskan menerusi Jawatankuasa Pelaksana yang diterajui bersama oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan penglibatan agensi Persekutuan, negeri serta rakan strategik berkaitan.
Datuk Dr Zulkifli berkata, Sarawak mempunyai kemudahan infrastruktur yang bersesuaian, selain keunikan warisan budaya dan kepelbagaian masyarakat yang dapat menyokong kelancaran penganjuran program berkenaan.
Beliau berharap penganjuran itu dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua kerajaan, selain menyemarakkan kecintaan dan penghayatan al-Quran dalam kalangan rakyat.-EDISI UKAS