KUCHING: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) menjadi antara usaha utama untuk memperkukuh hubungan perdagangan serta memperluas kerjasama strategik, termasuk dalam aspek keselamatan dan tenaga.
Ahli Parlimen Eropah, Daniel Attard berkata, hubungan perdagangan sedia ada antara kedua-dua pihak menyediakan asas untuk memperluas kerjasama yang bukan sahaja tertumpu pada pertumbuhan ekonomi, malah turut memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia, manakala Malaysia ialah rakan dagang ke-20 terbesar EU.
“Kami sedang merundingkan satu perjanjian perdagangan bebas yang penting bagi memperkukuh kerjasama ini, bukan sahaja dalam pertumbuhan ekonomi, tetapi juga keselamatan, termasuk keselamatan tenaga dan ketenteraan, serta meningkatkan taraf hidup rakyat di EU, Malaysia dan rantau ASEAN secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di Wisma Sumber Sumber Alam, pada Khamis.
Daniel Attard berkata, kerjasama yang diperkukuh itu penting bagi memastikan hubungan EU-Malaysia terus berkembang merangkumi bidang strategik, selain perdagangan.
Rundingan FTA berkenaan merupakan antara tumpuan dalam usaha mempererat hubungan ekonomi kedua-dua pihak, dengan kerjasama yang lebih luas turut dilihat berpotensi memberi manfaat kepada Malaysia dan rantau ASEAN.-EDISI UKAS